KSSUP adakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil



​​

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Februari. - Sempena bulan Ramadan yang mubarak ini, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya pagi tadi mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini.


Majlis berkenaan adalah khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Hadir mengetuai rombongan berkenan ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Adee Aiman bin Haji Muhiddin.


Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, KSSUP, Awang Haji Mohd. Yusree bin Haji Junaidi; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, serta pegawai dan kakitangan daripada KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Close